KULIM: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun lemas dihanyutkan arus ketika dipercayai cuba menyelamatkan rakan yang hampir lemas di Sungai Sedim, Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada pukul 4.40 petang sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa datang ke kawasan sungai berkenaan bersama lima rakannya untuk mandi-manda sebelum cuba menyelamatkan salah seorang mereka yang hampir lemas.
“Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya berpaut pada dahan pokok berhampiran manakala mangsa dihanyutkan arus sungai.
“Rakan-rakan mangsa meminta bantuan orang kampung sebelum mangsa ditemui tersangkut pada tunggul kayu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Zulkifli, pasukan bomba dan polis yang berada di lokasi cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Merbau Pulas mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 5.20 petang dan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah. Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya. -UTUSAN







