MELAKA: Seorang pekerja kilang maut manakala rakannya cedera dalam kejadian letupan melibatkan kerja-kerja kimpalan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 44 tahun meninggal dunia di lokasi selepas melecur kira-kira 90 peratus.
Rakannya yang berusia 32 tahun pula melecur kira-kira lima peratus dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.32 tengah hari sebelum sepasukan 11 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada pukul 1.38 petang, didapati berlaku letupan melibatkan alat kimpalan jenis cranking unit (CRU) ketika kerja-kerja kimpalan sedang dijalankan dalam kawasan kilang,” katanya.
Mohd. Hafidzatullah berkata, insiden tidak menyebabkan kebakaran kilang dan operasi berjaya dikawal pada pukul 2.27 petang.-UTUSAN










