PUTRAJAYA: Seorang pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi membantu siasatan berhubung tuduhan rasuah.
Difahamkan, beliau tiba kira-kira pukul 10.10 pagi tadi namun, kehadirannya tidak dapat disedari pengamal media susulan tiada maklumat mengenai kenderaan yang digunakan.
Semalam, pegawai berusia 60an itu telah berada di Ibu Pejabat SPRM selama 13 jam untuk diambil keterangan berhubung tuduhan yang sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pegawai penyiasatnya masih memerlukan keterangannya untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Pegawai kanan tentera itu kemudian dilepaskan tengah malam tadi, namun keterangan pegawai berkenaan akan disambung pagi ini.
Semalam, media melaporkan bahawa individu itu merupakan pegawai tertinggi kedua yang disiasat SPRM berhubung aktiviti rasuah dalam agensi pertahanan utama negara.
Sebelum ini, seorang lagi pegawai tertinggi dalam ATM kini berada dalam radar siasatan SPRM kerana dipercayai terpalit dengan skandal rasuah. – UTUSAN










