KUALA LUMPUR: Pegawai atau anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam budaya tidak bermoral seperti ‘yeye’ dan hiburan melampaui batas akan disingkir daripada perkhidmatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, budaya itu bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, bahkan meruntuhkan moral pasukan beruniform itu.
Malah katanya, sekiranya perkara itu masih berlaku, mereka yang terbabit akan disingkirkan daripada perkhidmatan tanpa kompromi.
“Kementerian Pertahanan dan ATM sememangnya sudah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara. Kita juga sudah menetapkan peraturan serta garis panduan jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial boleh diadakan di kem.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita. Aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita,” katanya ketika berucap pada Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, tiada sesiapa harus menerima segala bentuk gangguan hak asasi dan tiada wanita harus dijadikan objek seks serta hiburan di mess dan Wisma Perwira.
“Kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji daripada perkhidmatan.
“Sebelum ini, kita tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kenyataannya itu juga bukan amaran kosong dan terpakai kepada mereka yang cuba merosakkan imej Mindef dan ATM.
“Amaran saya juga kepada mereka yang menghabiskan masa bermain golf di luar waktu yang dibenarkan, atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan.
“Masa bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya. Justeru, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenar dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.
“Kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman kerana masa bekerja juga bukan untuk kita bersosial di media sosial. Segala pandangan kita di media sosial mesti memaparkan etika kita sebagai anggota pertahanan negara,” katanya. – UTUSAN










