PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan pasport serta MyKad versi baharu dengan tambahan ciri keselamatan menjelang pertengahan tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif tersebut dijangka akan bermula penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini, selaras hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2026.
Beliau berkata, pasport Malaysia ketika ini berada dalam kelompok terbaik dunia, termasuk dalam 10 pasport paling dipercayai, diukur berdasarkan kemudahan perjalanan tanpa visa atau dengan keperluan visa minimum ke pelbagai negara.
“Jadi kita akan memiliki passport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam enam bulan daripada sekarang yang akan menampilkan ciri-ciri keselamatan lebih terjamin, khususnya bagi meningkatkan integriti dokumen serta mengekang risiko pemalsuan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di sini hari ini.
Katanya, setiap dokumen keselamatan mempunyai tempoh penggantian tertentu dan Malaysia kini telah melepasi tempoh yang memerlukan pengeluaran dokumen keselamatan versi baharu bagi memastikan tahap integriti terus terpelihara.
Saifuddin berkata, pihak kementerian akan membuat hebahan awal kepada orang ramai sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaan.
“Pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga tempoh sah laku tamat, sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan secara rasmi kelak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, KDN menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) optimis untuk menyelesaikan 4,000 permohonan kewarganegaran yang tertunggak tahun ini.
Menurutnya, sejak beliau mengemudi KDN, sebanyak 50,000 jumlah permohonan kewarganegaraan tertunggak direkodkan.
“Tahun lalu sahaja, jumlah permohonan diluluskan adalah 20,032 iaitu melepasi 20,000 permohonan yang disasarkan. Sekarang baki keputusan permohonan warganegara cuma tinggal 4,000 sahaja dan saya optimis boleh selesaikan permohonan tertunggak itu,” katanya. – UTUSAN










