KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri beragama Islam disaran untuk mendapatkan khidmat nasihat perkahwinan melalui pihak berkuasa yang sah dan bukannya daripada individu bergelar ‘coach cerai’ yang berisiko memberi panduan tidak tepat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, nasihat yang tidak berlandaskan syariat Islam bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi merosakkan keharmonian institusi rumah tangga.
“Isu kewujudan ‘coach cerai’ ini memberi pengajaran bahawa sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian perlu disampaikan melalui pendekatan berasaskan ilmu, kefahaman serta bimbingan daripada pihak berkuasa yang jelas dan diiktiraf.
“Rundingan yang adil dan menyeluruh juga perlu diutamakan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai tindakan tegas kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), terhadap kewujudan perkhidmatan ‘coach cerai’ yang dikhuatiri menormalisasikan perceraian sehingga melemahkan institusi kekeluargaan.
Menurut Marhamah, penggunaan istilah serta pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan termasuk ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Katanya, langkah itu penting untuk meredakan kegusaran masyarakat awam khususnya dalam penyampaian ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sahih.
“Kerajaan melalui Jakim memandang serius isu ‘coach cerai’ yang tular baru-baru ini susulan perceraian melibatkan pasangan selebriti sehingga menyentuh aspek pentadbiran hal ehwal Islam.
“Urusan berkaitan perkahwinan dan perceraian seharusnya dirujuk serta ditangani oleh pihak berautoriti mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan hukum syarak,” katanya. – UTUSAN










