PARLIMEN: PN dakwa perjanjian ART diskriminasi GLC

PARLIMEN: PN dakwa perjanjian ART diskriminasi GLC

MOHD. SYAHIR CHE SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) perlu diteliti semula terutama melibatkan terma yang didakwa berpotensi memberi kesan tidak adil kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, penelitian semula itu perlu dibuat memandangkan GLC dan GLIC tempatan termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Lembaga Tabung Haji (TH) berisiko terjejas khususnya berkaitan peruntukan Perkara 6.2 ART.

Katanya, peruntukan itu menetapkan syarikat milik atau dikawal kerajaan perlu beroperasi tanpa diskriminasi terhadap barangan dan perkhidmatan dari AS serta memastikan wujud padang permainan yang sama rata.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Komitmen terlalu mengikat ini berpotensi mengehadkan ruang dasar GLC atau GLIC seperti TH, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan PETRONAS.

“Hal ini kerana, syarikat GLC atau GLIC ini berfungsi melindungi kepentingan strategik ekonomi dan sosial negara termasuk agenda Bumiputera,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Syahir berkata, Perkara 5.1 ART turut menimbulkan kebimbangan apabila Malaysia dikehendaki mengambil langkah yang mempunyai kesan sekatan setara dengan tindakan dikenakan AS terhadap mana-mana negara ketiga.

“Semua ini menuntut penelitian semula perjanjian ART termasuk kesediaan untuk merundingkan kembali terma yang dilihat tidak adil atau memudaratkan kepentingan negara serta dibentangkan di Parlimen sebelum sebarang ratifikasi dibuat kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan supaya Petronas melalui proses transformasi menyeluruh dengan mengambil kira cabaran global dan domestik yang semakin kompleks khususnya selepas negara meratifikasi ART.

“Prestasi kewangan Petronas bagi separuh pertama tahun lalu menunjukkan penurunan apabila hasil merosot sebanyak 24 peratus.

“Malah, keuntungan selepas cukai turut mencatatkan penyusutan sebanyak 19 peratus, sekali gus mencerminkan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini