KUALA LUMPUR: Lebih lima juta rakyat Malaysia berdepan dengan masalah penyakit buah pinggang kronik atau CKD.
Berdasarkan 32nd Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2024, data menunjukkan seramai 9,473 pesakit baharu CKD tahap lima iaitu pesakit kegagalan ginjal tahap akhir (ESKD) yang memerlukan rawatan dialisis,
Data tersebut turut menunjukkan jumlah pesakit dialisis semasa di seluruh negara adalah seramai 55,237 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh pesakit untuk memulakan rawatan hemodialisis bergantung kepada beberapa faktor antaranya keadaan klinikal pesakit, kapasiti unit hemodialisis, kelancaran prosedur akses vaskular dan proses pentadbiran.
Menurut beliau, pesakit perlu melalui beberapa fasa utama seperti diagnosis dan pengesahan ESKD yang mengambil masa antara dua ke lapan minggu.
“Fasa kedua adalah penilaian dan perancangan, setelah pakar nefrologi menilai keperluan dialisis, jenis akses vaskular dan jadual dialisis ditetapkan, tempoh masa berjumpa doktor pembedahan untuk menjalankan pembedahan akses vaskular adalah dua ke tiga minggu.
“Tempoh menunggu tarikh untuk pembedahan adalah selama satu ke enam bulan bergantung kepada hospital. Bagi pesakit yang menjalani pembedahan AVF secara penyumberluaran (HSOP), masa rujukan sehingga pembedahan adalah dalam tempoh dua ke tiga minggu,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta kementerian menyatakan berapa ramai pesakit buah pinggang di seluruh negara dan proses yang perlu dilalui oleh seseorang pesakit.
Dzulkefly berkata, tempoh masa untuk AV Fistula matang pula adalah selama empat ke lapan minggu sebelum boleh digunakan bagi memulakan rawatan hemodialisis.
“Bagi kes kritikal, prosedur pemasangan kateter vaskular (sementara) akan dijalankan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, bagi penempatan pusat dialisis, pesakit kritikal akan menjalani rawatan hemodialisis dengan segera.
“Masa menunggu untuk mendapat slot rawatan hemodialisis di fasiliti kerajaan adalah selama dua ke tiga tahun. Bagi kumpulan pesakit ini, pesakit akan menjalani rawatan di unit hemodialisis di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) lain yang masih mempunyai kapasiti sementara menunggu untuk mendapatkan slot di hospital yang berdekatan dengan pesakit.
“Selain itu, pesakit yang memenuhi kriteria akan ditawarkan rawatan Peritoneal Dialisis,” katanya.
Tambahnya, tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan di pusat dialisis swasta pula adalah sekitar dua ke empat minggu.
“Ini setelah mendapat kelulusan pihak pembayar seperti Pusat Zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya. – UTUSAN










