KUALA LUMPUR: Generasi muda akan rugi sekiranya kerajaan melengahkan pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia seawal enam tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan 137 negara atau lebih 71 peratus negara di dunia sudah melaksanakan dasar tersebut.
Kata beliau, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam melaksanakan dasar murid Tahun Satu pada usia enam tahun dan negara sudah bersedia (untuk pelaksanaannya).
Katanya, sekiranya dasar tersebut ditangguhkan maka generasi muda akan rugi satu tahun.
“Generasi sekarang tidak seperti dulu. Umumnya jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka. Jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tidak boleh tetapi anak-anak kita jauh lebih pintar. Yang penting, beri pendedahan kepada mereka.
“Jadi saya tidak anggap ini satu keputusan yang akan merugikan, malah satu keputusan yang wajar diberi pertimbangan dan disokong dari semua pihak. Kalau ada beberapa kelemahan yang harus kita lakukan, kita lakukan sekarang.
“Saya ingin menggesa sebaik mungkin semua anak-anak mendaftar (masuk Tahun Satu). Mengapa kita beri pilihan? Kerana pada peringkat awal, kita tidak mahu ibu bapa merasakan kejutan atau paksaan. Kita sediakan ruang, ada setahun untuk masuk ke Tahun Satu.
“Bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan dengan baik, kerajaan tambah kemudahan atau perluasan kemudahan itu di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai rasional dan kriteria data penentuan usia kemasukan murid Tahun Satu sama ada pada usia enam atau tujuh tahun.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sudah memperluas 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi termasuk 150 bilik pada tahun lalu dan 350 lagi bilik pada tahun ini.
Katanya, kerajaan sudah melakukan persiapan yang besar bagi meningkatkan mutu pendidikan negara sambil mengeluarkan belanja yang tinggi.
Untuk tahun ini, tambahan peruntukan dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) adalah sebanyak RM800 juta untuk memenuhi pengambilan 18,000 guru baharu. Kapasiti prasekolah kerajaan berjumlah 110,889 tempat.
“Ia merangkumi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara, Integrasi Nasional (JPNIN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Maknanya, kita ambil kira semua, sebab kohort umur enam tahun itu telah masuk dalam bidang kuasa beberapa jabatan yang lain,” katanya. – UTUSAN










