Pantau rapi tiga projek Rumah Pahang - Jasri - Utusan Malaysia

Pantau rapi tiga projek Rumah Pahang – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri diminta memantau dari masa ke semasa tiga daripada 10 projek Rumah Pahang iaitu di Felda Jengka 1, Felda Jengka 11 dan Felda Sungai Retang bagi memastikan perkembangannya berjalan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu penting kerana sebarang masalah atau kelewatan akan menyebabkan pembeli terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki rumah sendiri.

“Pemantauan berterusan bukan sahaja dapat mengesan isu teknikal lebih awal, malah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa projek perumahan mampu disiapkan mengikut jadual.

“Kita tidak mahu isu tujuh daripada 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) atau Rumah Pahang di Pahang yang ditamatkan kerana gagal memenuhi syarat serta tidak menunjukkan sebarang kemajuan berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan bahawa tujuh daripada 10 projek PGBF di Pahang ditamatkan kerana gagal memenuhi syarat serta tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff dilaporkan berkata, daripada jumlah itu tiga projek lain masih dalam pembinaan dan dipantau rapi oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi memastikan ia dapat disiapkan serta ditawarkan kepada pembeli yang layak.

Jasri dalam pada itu meminta kerajaan negeri supaya segera memulihkan projek perumahan terbengkalai di negeri ini bagi mengelakkan pembaziran masa, wang ringgit serta peluang pembinaan rumah untuk rakyat.

“Alhamdulillah, isu yang saya bangkitkan telah diambil tindakan oleh kerajaan negeri. Saya berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemulihan projek ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi LPHP wajar mempunyai mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memantau projek ‘sakit’ dan terbengkalai sekali gus mengelakkan masalah sama berulang.

Beliau menegaskan bahawa proses pemilihan pemaju dan kontraktor juga perlu dilaksanakan secara telus serta berasaskan keupayaan sebenar.

“Projek seharusnya diberikan kepada pemaju dan kontraktor perumahan yang mempunyai keupayaan serta pengalaman yang mencukupi.

“Terlalu banyak masa, wang ringgit dan peluang pembinaan rumah rakyat telah dibazirkan. Keadaan ini menyukarkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri Pahang, khususnya golongan muda dan mereka yang baru membina keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN