P.Pinang: Polis gerak 1,280 anggota bertugas sempena Thaipusam

P.Pinang: Polis gerak 1,280 anggota bertugas sempena Thaipusam

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis akan menggerakkan seramai 1,280 anggota dan pegawai bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang, Ahad ini yang dijangka menarik kehadiran sehingga 100,000 pengunjung.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, sambutan Thaipusam kali ke-240 bagi Pulau Pinang itu akan diadakan di Kuil Jalan Air Terjun di sini dengan melibatkan beberapa perarakan chariot serta penutupan jalan utama di sekitar pusat bandar raya.

Menurut beliau, pedati Golden Chariot akan bergerak mulai pukul 6 pagi Sabtu ini dari Lebuh Queen menuju ke Kuil Jalan Air Terjun manakala Silver Chariot pula akan bergerak pada hari yang sama mulai pukul 7 pagi dari Lebuh Penang menuju ke kuil yang sama.

Sementara itu katanya, perarakan balik pedati pula masing-masing akan bermula pukul 6 petang dan 7 malam pada Isnin yang melibatkan laluan dari Kuil Jalan Air Terjun menuju ke Lebuh Queen dan Lebuh Penang.

“Sempena perayaan itu juga, beberapa jalan utama di George Town akan ditutup bermula 10 pagi Sabtu sehingga pukul 12 tengah malam Isnin termasuk Jalan Gottlieb, Lorong Air Terjun, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan D.S. Ramanathan, Lebuh Victoria dan Lebuh Campbell.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta digalakkan menaiki pengangkutan awam termasuk feri bagi mereka yang datang dari Seberang Perai,” katanya yang turut meminta agar mereka mematuhi arahan petugas serta tidak berlebihan sepanjang perayaan berlangsung.

Tambah Abdul Rozak, aktiviti bermain mercun atau bunga api serta penggunaan dron tanpa kelulusan juga adalah dilarang sama sekali dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu yang ingkar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN