PETALING JAYA: Orang Melayu Islam perlu bersatu dan mengetepikan perbezaan demi menyelamatkan dunia.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, agama Islam sebelum ini menempa sejarah keemasan dalam negara paling luas sempadan wilayahnya, merangkumi Asia, Afrika dan Eropah.
Kata beliau, Islam juga berjaya mencipta tamadun yang dimanfaatkan oleh seluruh dunia sehingga kini.
“Maka, bangsa Melayu Islam perlu berusaha mengembalikan semula kedaulatan Islam bagi menyelamatkan dunia kerana wilayah alam Melayu mempunyai jumlah penganut Islam terbesar.
“Majoriti penduduknya beragama Islam, kaya dengan sumber manusia yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk dan sumber alam kurniaan Allah serta diberikan kelebihan kedudukan dari segi geografi yang strategik dalam jajaran hubungan antarabangsa,” katanya dalam Minda Presiden, hari ini.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas menerima dan mengikuti konsep demokrasi Barat kerana aspek kebebasan bersuara, walaupun berlaku banyak salah laku melibatkan kezaliman dan penipuan kerana berpisah dari agama.
Katanya, dalam aspek kehidupan bermasyarakat majmuk pula, Pas turut sama terlibat dalam membantu mangsa bencana alam tanpa memilih kawan ataupun lawan.
“Pas boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam isu Palestin, Bosnia, dan Myanmar (Rohingya), termasuklah membantu pelarian akibat peperangan di Vietnam, Kemboja dan lain-lain,” katanya.
Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu, Pas menentang kalangan pelampau yang membunuh orang awam dengan serangan ganas walaupun oleh kumpulan yang berjenama Islam tetapi merosakkan imej agama serta melampaui sempadan halal dan haram.
“Pas tidak boleh bekerjasama dalam membenarkan salah laku, contohnya apa yang baru sahaja berlaku di Perlis, walaupun dilakukan oleh ahli parti sendiri dan kehilangan kerusi yang boleh menjatuhkan kerajaannya.
“Hal ini demikian kerana, Pas mempunyai dasar dan akar umbi yang kukuh serta cabang yang tidak mati kalau dipotong, sebaliknya menumbuhkan tunas yang lebih banyak dan subur,” katanya. – UTUSAN










