Op Sapu Bersepadu: Wanita Indonesia jatuh dari siling tingkat tiga - Utusan Malaysia

Op Sapu Bersepadu: Wanita Indonesia jatuh dari siling tingkat tiga

WANITA warga Indonesia yang terjatuh dari siling tingkat tiga di Taman Emas, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cubaan bersembunyi seorang wanita warga asing gagal selepas dia terjatuh dari siling tingkat tiga ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di sini, hari ini.

Wanita Indonesia itu antara 218 warga asing yang melarikan diri selepas kawasan penginapan mereka di lot kedai Taman Emas, Cheras digempur sekitar pukul 8.30 malam tadi.

Dia bertindak demikian dipercayai kerana panik lalu bersembunyi bersama rakannya yang lain, sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Saya bersembunyi bersama dengan enam rakan lain kerana panik dengan laungan rakan lain yang menyatakan bahawa ada Imigresen datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, Op Sapu Bersepadu itu dijalankan hasil aduan awam dan pemantauan serta risikan dijalankan selama dua minggu.

Katanya, operasi bermula pukul 6 petang melibatkan 279 pegawai Imigresen serta 10 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sebanyak 1,087 individu termasuk warga tempatan diperiksa dan 220 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan 166 orang lelaki dan 52 orang perempuan.

“Kesalahan yang dilakukan termasuk tiada dokumen pengenalan, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Teknologi dron turut digunakan bagi mengesan warga asing yang bersembunyi di bumbung, kesemua tahanan yang berusia dua hingga 52 tahun itu ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN