KUALA LUMPUR: “Maaf, itu bukan saya.”
Demikian respons penyanyi, Nubhan, 39, mengenai tuduhan yang kononnya dia sengaja mencipta akaun palsu untuk menyerang bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di media sosial.
Nubhan yang nyata terkilan, secara tegas menolak tuduhan itu yang jelas ditimbulkan untuk memburukkan nama serta mengundang membangkitkan kebencian netizen terhadapnya.
“Bila masanya saya nak buat perkara itu? Saya nak hafal lirik untuk persembahan Gegar Vaganza pun sudah memeningkan.
“Bagi saya, kita mengharapkan yang terbaik untuk masa depan. Saya tak ada masa untuk buat semua itu,” katanya yang ditemui pada konsert GV11 malam semalam.
Disoal mengenai kecaman dan ancaman boikot gara-gara ketegangan dengan bekas isteri, Nubhan memaklumkan dia tidak mampu menghalang perkara tersebut dan sekadar mampu mendoakan yang terbaik untuk semua pihak.
“Terpulang kepada orang untuk bercakap apa. Saya cuma nak teruskan kehidupan, karier, jaga ibu dan besarkan anak-anak serta kembangkan perniagaan. Itulah sebaiknya.
“Kepada yang mahu memboikot saya, saya doakan yang terbaik untuk mereka. Saya harap hidup mereka diberkati dan dirahmati.
“Saya tak boleh halang tindak tanduk mereka. Saya menjaga aib, tidak akan membuka keburukan antara saya dengan bekas isteri. Hanya kami sahaja yang tahu.
“Anak-anak membesar, tak elok untuk mereka satu hari nanti membaca semua cerita buruk yang ditulis tentang kami.Tak perlulah kami buka aib sesama sendiri,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Nubhan juga memaklumkan tidak pernah mengabaikan malah sentiasa mengutamakan kebajikan tiga anaknya iaitu Aafiya Kamilia, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.
“Kami berkomunikasi seperti biasa, jika perlu, kami akan berhubung menerusi peguam masing-masing.
“Keutamaan saya buat masa ini adalah anak-anak. Saya dan bekas isteri menjaga mereka secara bergilir.
“Malah saya akan bawa anak-anak pergi sesi latihan Gegar Vaganza. Bagi saya hubungan dengan anak sangat penting supaya mereka dapat kasih sayang yang sepenuhnya.
“Saya tak pernah tinggalkan mereka. Jadi bila tiba giliran saya bersama mereka, anak-anak berada di rumah bersama saya seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu penyanyi lagu Ada Untukmu itu juga menegaskan dia tidak pernah menyerang balas, apatah lagi menghalang kelantangan bekas isterinya mendedahkan satu persatu masalah yang timbul antara mereka di media sosial.
“Apa yang dia kongsi di media sosial, itu haknya. Perkongsian saya pula adalah semata-mata mengenai peminat, karier, aktiviti seni dan sebagainya. Siapa yang lantang, siapa tidak, serang menyerang ini saya tak faham keadaannya,” ujarnya.
Untuk rekod, Nubhan dan bekas isterinya sah bercerai kali kedua pada 1 Disember tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. – UTUSAN










