SHAH ALAM: Penyanyi, Nubhan meluahkan rasa bangga dengan pencapaiannya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) meskipun berdepan sindiran segelintir pihak yang menganggap kedudukan itu bukan satu kejayaan.
Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahmad, 40, berkata, perjalanan sepanjang 11 minggu pertandingan bukanlah sesuatu yang mudah dan menuntut ketahanan mental serta fizikal yang tinggi.
“Bagi saya, nombor tiga bukan ‘padan muka’. Ini semua rezeki. Perjalanan dari minggu pertama hingga ke akhir bukan kerja senang.
“Kalau tersingkir awal, lain ceritanya. Apabila sudah bergelar finalis, sasaran saya sekurang-kurangnya mara ke pentas akhir.
“Nak jadi juara memang bukan mudah. Kalau menang itu bonus. Dapat tempat ketiga pun Alhamdulillah,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, pada Ahad.
Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu turut menzahirkan penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa memberi sokongan dan mendoakannya untuk bergelar juara.
“Terima kasih kepada yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah, itu bermakna mereka percaya saya ada peluang untuk menang.
“Sokongan peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujarnya.
Mengulas persembahannya di pentas akhir menerusi lagu Seluruh Cinta bersama Aina Abdul yang menerima ulasan kurang memberangsangkan daripada juri, Nubhan mengakui tidak dapat memberikan persembahan terbaik.
“Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina pula seorang penyanyi yang sangat profesional dan banyak memberi sokongan kepada rakan duet.
“Mungkin saya kurang ‘memberi’ kerana lagu itu agak sukar, namun Alhamdulillah saya berterima kasih kepada Aina atas komitmen yang ditunjukkan.
“Saya terima sahaja apa-apa lagu yang diberikan kerana itu satu tanggungjawab, tanpa perlu memberi banyak alasan,” katanya.
Terdahulu, pentas akhir GV12 menyaksikan penyanyi dari Singapura, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, manakala kumpulan Mendua menduduki tempat kedua. Nubhan pula menamatkan saingan di kedudukan ketiga. – UTUSAN










