PETALING JAYA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia memberikan khidmat nasihat bagi memperkukuh pengurusan risiko bahan kimia dan gas berbahaya susulan beberapa insiden kebocoran serta letupan gas yang berlaku baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh berkata, insiden berasingan melibatkan kebocoran gas amonia di Plaza Tol Seremban serta letupan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara minggu lalu wajar dijadikan peringatan serius oleh semua pihak.
Menurutnya, walaupun kedua-dua kejadian itu berbeza, persamaannya jelas iaitu kegagalan kawalan terhadap gas dan bahan kimia berbahaya boleh mengakibatkan kecederaan serius dalam tempoh singkat.
“Insiden seperti ini menuntut pendekatan pencegahan yang menyeluruh bermula daripada penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat, kompetensi pekerja sehinggalah kepada kesiapsiagaan menghadapi kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayop menggesa semua majikan dan pemilik premis yang mengendalikan bahan kimia, gas berbahaya atau sistem menggunakan gas termasuk bahan pendingin supaya memperkukuh pematuhan undang-undang serta amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
“Ia merangkumi penyediaan tempat kerja yang selamat, latihan bersesuaian, serta sistem kerja yang dapat mengurangkan risiko semasa pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan bahan terbabit,” katanya.
Ayop berkata, insiden tersebut membuktikan kepentingan kawalan risiko yang ketat terhadap bahan kimia dan gas bertekanan, sama ada ketika pengangkutan, penyimpanan, penyelenggaraan atau operasi harian di premis awam.
Menurutnya, NIOSH menyediakan khidmat nasihat pakar percuma, pelbagai latihan serta perkhidmatan makmal termasuk Penilaian Risiko Kesihatan Kimia (Chemical Health Risk Assessment – CHRA) bagi memastikan pengurusan dan kawalan pendedahan bahan berbahaya dilaksanakan secara tersusun mengikut garis panduan pihak berkuasa.
“NIOSH bersedia membantu organisasi kerajaan dan swasta melalui khidmat konsultasi dan audit KKP, latihan pengurusan bahan kimia serta tindak balas kecemasan, semakan prosedur operasi selamat dan program peningkatan kompetensi pekerja.
“Tumpuan utama adalah memastikan risiko dikenal pasti lebih awal, dikawal secara berkesan dan semua pihak tahu tindakan yang perlu diambil ketika kecemasan,” katanya. – UTUSAN







