Naib Canselor MUCM dituduh perdaya lantikan ketua perunding

Naib Canselor MUCM dituduh perdaya lantikan ketua perunding

G. JAYAKUMAR diiringi anggota SPRM dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari inibagi didakwa atas pertuduhan memperdaya bekas Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia berkaitan lantikan ketua perunding.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memperdaya bekas naib canselor institusi pengajian tinggi itu berkaitan lantikan ketua perunding lima tahun lalu.

Tertuduh, Prof. Dr. G. Jayakumar, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pensyarah kanan di kolej universiti berkenaan telah memperdaya Jaspal Singh yang juga Naib Canselor bagi melantik pensyarah di Universiti Perdana Kuala Lumpur pada waktu itu sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik.

Lantikan itu bagi membangunkan modul program terapi pekerjaan dengan bayaran RM20,000 walaupun lantikan itu melanggar kontrak kerja dan Universiti Perdana.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Kolej Universiti Manipal Malaysia dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Mei 2021 lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari. Beliau mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork tidak membuat bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan. Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan permohonan pendakwaan beserta jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 9 Mac depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN