PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden perlanggaran kereta api berkelajuan tinggi di Córdoba, Sepanyol.
Menurut Wisma Putra, susulan insiden tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Madrid telah melaksanakan usaha bersepadu bagi mengesahkan kemungkinan penglibatan warganegara Malaysia.
Katanya, usaha ini telah dilaksanakan menerusi libat urus secara langsung dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
“Kementerian ini mengesahkan bahawa berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh daripada pihak berkuasa Sepanyol, tiada warganegara Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan insiden ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian malam Ahad lalu, insiden pertembungan kereta api berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol itu mengorbankan 40 nyawa.
Nahas yang berlaku merupakan kemalangan kereta api paling ngeri di Sepanyol sejak 2013 di mana 80 orang terkorban selepas sebuah tren tergelincir di landasan selekoh di luar bandar Santiago de Compostela.
Tragedi terbaharu ini berlaku apabila sebuah kereta api kendalian syarikat Iryo yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz di Andalusia.
Kereta api tersebut kemudiannya masuk ke landasan bertentangan lalu merempuh sebuah lagi keretapi yang sedang datang dari arah hadapan, menyebabkan kedua-duanya tergelincir. – UTUSAN










