KUALA NERUS: Tabika Kemas Kampung Pantai di Batu Rakit di sini, diancam hakisan sejak lebih sebulan lalu menyebabkan premis itu tidak lagi selamat diduduki.
Pengerusi Komuniti Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman berkata, tabika yang baharu siap dibaik pulih September lalu dengan kos RM50,000 terpaksa dikosongkan semula bagi sesi persekolahan 2026 minggu depan.
Kataya, seramai 20 murid akan dipindahkan ke tabika Kemas berdekatan apabila sesi persekolahan bermula, ekoran jarak hakisan dengan bangunan hanya kira-kira lima meter.
“Pada sesi persekolahan bermula minggu depan, murid-murid ini menumpang di Tabika Kemas Kampung Tanjung dan Tabika Kemas Wakaf Chagak.
“Kita juga sudah mengenal pasti bangunan baharu untuk tabika ini, namun perlu masa untuk baik pulih. Mungkin mengambil masa enam bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, beberapa kawasan pesisir di Pantai Batu Rakit terjejas akibat hakisan ekoran hujan lebat pada hujung tahun lalu.
Bazlan berkata, hakisan di kawasan itu berlaku dengan cepat dan tiada siapa menjangkakannya. – UTUSAN











