Mungkin zaman moden ini orang terlupa batas buat ‘content’ - Utusan Malaysia

Mungkin zaman moden ini orang terlupa batas buat ‘content’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Takut jadi ikutan.”

Demikian jawapan pelakon, Sharnaaz Ahmad apabila diminta menjelaskan mengenai tindakannya yang baru-baru ini menegur pempengaruh yang menghasilkan kandungan takut bini di media sosial.

Menurut Sharnaaz dia terpanggil untuk memberi teguran kerana enggan kandungan negatif seperti itu mempengaruhi masyarakat.

“Zaman moden ini, mungkin orang terlupa mengenai batas dalam menghasilkan kandungan media sosial.

“Mungkin realitinya, wanita yang berlakon dalam kandungan itu pun bukanlah isteri yang menakutkan suami. Mungkin nak bercakap dengan suami pun sebenarnya dia tak berani.

“Tetapi disebabkan nak buat ‘content’, dia bercakap begitu dengan suami.

“Kita tak mahu perkara begini jadi ikutan. Sebab itu saya bersuara, sebab institusi kekeluargaan akan berdepan bahaya kalau situasi itu menjadi kebiasaan,” katanya.

Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui pada Pertunjukkan Fesyen Bulan Bintang The Nex Chapter 2026 baru-baru ini.

Sharnaaz sebelum ini mencuri perhatian apabila tampil menegur trend kandungan takut bini menerusi video yang dimuat naik dalam media sosialnya baru-baru ini.

Bintang filem Blood Brothers itu dalam masa yang sama memaklumkan tidak terkesan dengan segelintir pihak yang mengungkit kegagalan rumah tangganya sebagai respons kepada teguran pelakon berkenaan mengenai isu tersebut.

“Saya langsung tak terasa kerana perceraian saya tiada kaitan dengan isu pasangan tak hormat satu sama lain. Malah Noor Nabila tak pernah bersikap kurang ajar dengan saya sewaktu kami menjadi suami isteri.

“Kami berpisah kerana tiada kesefahaman atau persetujuan. Tapi sampai sekarang hubungan kami baik dan saling menghormati antara satu dengan lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN