MPV terbabas: CEO, dua pekerja maut tidak sempat hadiri kursus

MPV terbabas: CEO, dua pekerja maut tidak sempat hadiri kursus

JENAZAH salah seorang mangsa kemalangan maut di Paloh tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hasrat seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menghadiri kursus di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila maut bersama dua pekerjanya selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, Nik Razizi Nik Rahim, 55, yang merupakan CEO syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api gas bersama dua pekerjanya Nik Azmi Nik Othman, 47 dan Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33, maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, pemandu MPV itu, Nik Mohd. Faizol Nik Abd. Aziz, 42, yang merupakan pembantu am atau pengisi minyak (refueller) bagi syarikat tersebut selamat apabila mengalami kecederaan pada bahagian kaki, peha dan kepala.

Sementara, pemandu van Toyota Hiace, Mohammad Ridhwan Mohd. Zawawi, 27, patah tangan dan kaki manakala penumpang kenderaan itu, Hasuzi Abdullah, 48, mengalami pendarahan dalam otak.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian MPV yang dipandu Nik Mohd. Faizol dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus bersama CEO dan dua lagi rakanya.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, MPV itu telah terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van jenis Toyota Hiace.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu van tersebut tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan MPV itu. Pertembungan itu menyebabkan van tersebut berpusing dan melanggar tembok batu penghadang jalan disebelah kiri laluan menghala ke arah Gua Musang.

“Kesannya, pemandu dan penumpang van serta pemandu MPV parah,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.

Choon Foo memberitahu, kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan lanju masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat 019-9144855.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN