PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyokong cadangan pemindahan ladang penternakan babi ke kawasan Bukit Tagar selagi ia menggunakan kaedah penternakan moden.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan tersebut, dengan syarat ia mematuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan.
“Ya, kita tidak ada masalah dengan sebarang perpindahan kerana penternakan juga perlu memenuhi kehendak alam sekitar.
“Kalau didapati bahawa di Bukit Tagar itu lebih sesuai dengan persekitarannya, maka di peringkat kementerian kita tidak ada masalah dengan apa yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2026, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, keluasan kawasan kira-kira 500 ekar yang dicadangkan itu membolehkan penternakan dijalankan secara lebih tersusun dan sistematik, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan teknologi moden dalam industri berkenaan.
“Sudah tentu penternakan dalam skala besar seperti ini perlu pergi ke arah pemodenan bagi mengelakkan pencemaran.
“Jika ia dilakukan dengan sistem yang moden dan tidak berlaku pencemaran yang berleluasa, maka kita di pihak kerajaan dan kementerian mengalu-alukan apa yang dilakukan di Selangor,” katanya.
Menurut beliau, aspek kawalan pencemaran perlu diberi keutamaan termasuk pengurusan sisa ternakan, kawalan bau serta perlindungan sumber air agar tidak menimbulkan masalah kepada alam sekitar dan komuniti berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan pemindahan semua 116 ladang babi di Tanjung Sepat dan Kuala Langat ke lokasi berpusat di Bukit Tagar adalah bagi menyelesaikan masalah pencemaran dan bau busuk dihadapi penduduk dalam jangka masa tiga tahun.
Pemilihan Bukit Tagar sebagai lokasi berpusat untuk penternakan babi adalah kerana kawasan tersebut merupakan tempat pengumpulan sampah yang tidak berpenghuni. – UTUSAN










