BATU KAWAN : Penganjuran festival modifikasi atau Malaysia Modifighter Festival (MMF) 2026 yang disifatkan terbesar di utara setakat ini dijangka mampu menarik kehadiran sehingga 400,000 pengunjung sepanjang empat hari festival itu dilangsungkan, bermula hari ini.
Penganjur, Muhammad Faris Azri Md. Hanif berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah ‘engagement’ yang diterima di media sosial susulan promosi atau publisiti awal yang dibuat mengenai festival tersebut sebelum ini.
Selain itu katanya, jangkaan itu juga dibuat berdasarkan kejayaan program Northern Festival of Speed (NFOS) di Butterworth baru-baru ini yang dihadiri oleh kira-kira 200,000 peminat kereta dari seluruh negara.
“Kelainan ‘event’ kami ialah, ia bukan hanya melibatkan peminat sukan permotoran khususnya kereta, tetapi, ia juga melibatkan keluarga mereka pada masa yang sama.
“Sebagai contoh, kalau ‘event’ motor, hanya mat-mat motor yang pergi. Tapi, untuk festival ini, kami galakkan mereka datang bersama keluarga kerana pelbagai acara atau aktiviti menarik yang disediakan untuk semua pengunjung sepanjang festival berlangsung,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Festival anjuran Choii Motorsports dengan kerjasama Petronas Sprinta, Petronas Syntium dan Tunica Scent itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengetengahkan bakat modifikasi dalam bidang permotoran khususnya dalam kalangan belia.
Antara tarikan utama sepanjang festival itu ialah hadiah cabutan bertuah premium berupa sebuah kereta jenis Nissan Skyline R34, pameran ‘auto show’ yang melibatkan hampir 300 jenis kereta, pertunjukan ‘drift’ serta pameran jentera Formula Satu (F1) yang pernah dipandu oleh pelumba sensasi, Lewis Hamilton dan lain-lain.
Dalam pada itu, Muhammad Faris yang juga merupakan peneraju utama Choii Motorsports berkata, objektif utama penganjuran festival itu ialah untuk menarik minat golongan muda terhadap sukan terbabit selain mengumpulkan para pempengaruh yang menjadikan sukan permotoran sebagai konten utama dalam media sosial mereka di bawah satu bumbung.
“Mungkin ada sesetengah daripada kita memandang sukan permotoran ini dari sudut yang berbeza. tetapi, sukan ini sebenarnya mempunyai skop yang luas.
“Oleh itu, sempena penganjuran festival ini, kami mahu para pengunjung melihat sendiri acara yang berlangsung dan suasana sepanjang penganjurannya sekali gus menimba pengalaman berguna,” katanya yang mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap dunia permotoran ketika ini.-UTUSAN










