Misi sukar bertemu KL namun Perak janji aksi terbaik - Utusan Malaysia

Misi sukar bertemu KL namun Perak janji aksi terbaik

PEMAIN Perak menjalani latihan menjelang perlawanan Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur di Stadium Manjung esok. - GAMBAR PERAK FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak akan berjuang habis-habisan menentang Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) esok.

Jurulatih Perak, Syamsol Saad berkata, perlawanan itu pastinya sukar kerana pasukannya bertemu lawan yang biasanya membariskan tujuh hingga lapan pemain bertaraf import.

Menurutnya, berdepan Kuala Lumpur pastinya satu misi yang sangat sukar namun pemain berjanji akan memberi persembahan terbaik mereka.

“Dalam masa yang sama, saya kena pastikan pemain sentiasa terkawal dan bermain ikut perancangan pasukan. Semangat sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Pada masa yang sama, Syamsol juga perlu memikirkan kepentingan untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam saingan Liga A1 Semipro.

Ini kerana Perak akan turun bertemu Kedah FA pada 21 Januari iaitu dua hari selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur.

Katanya, Perak berdepan empat perlawanan dalam tempoh 13 hari iaitu dua perlawanan Piala Malaysia dan dua perlawanan Liga A1 dan semua perlawanan di luar Ipoh.

“Ini sangat memenatkan dan memberi kesan kepada pemulihan pemain. Jadi saya perlu teliti dalam memilih dan menggilirkan pemain untuk perlawanan malam esok dan perlawanan seterusnya.

“Apapun kami akan turunkan yang terbaik pada malam esok kerana keputusan malam esok akan menentukan sama ada kami akan terus fokus pada Piala Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN