Misi kedua GSF ke Gaza pada pertengahan tahun ini - Utusan Malaysia

Misi kedua GSF ke Gaza pada pertengahan tahun ini

Kleoniki Alexopoulou (kanan) bercakap dalam Diskusi Meja Bulat GSF 2.0: Breaking The Siege di Wisma Mapim, Bangi, Selanor. Turut serta Thiago Avila (dua dari kiri), Saif Abukesyek (dua dari kanan) dan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman (kiri). – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Misi kemanusiaan Glo­bal Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) ke Gaza dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun ini sebagai usaha meningkatkan tekanan antarabangsa bagi menghentikan sekatan dan keganasan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi kedua itu digerakkan susulan kegagalan gencatan senjata serta tindakan berterusan menghalang kema­sukan bantuan kemanusiaan, yang memperlihatkan konflik semakin buruk.

Beliau berkata, situasi itu memerlukan satu gerakan glo­bal lebih tersusun sebagai jalan terakhir untuk memastikan masyarakat antarabangsa tidak terus memalingkan perhatian daripada apa yang berlaku di Gaza.

“Apabila bantuan disekat dan gencatan senjata diper­mainkan, tekanan antarabangsa perlu digerakkan sebagai langkah terakhir untuk menghentikan keganasan dan memastikan dunia bertindak,” katanya selepas Diskusi Meja Bulat GSF 2.0: Breaking The Siege di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini, semalam.

Dr. Sani Araby yang juga Ke­tua Pegawai Eksekutif Mapim berkata, faktor keselamatan menyebabkan tarikh sebenar pelancaran tidak boleh didedahkan, namun musim bunga dipilih memandangkan keadaan cuaca di Laut Mediterranean lebih stabil dan sesuai untuk pelayaran.

Katanya, GSF 2.0 akan memberi tumpuan kepada penglibatan lebih meluas pelbagai segmen termasuk rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan serta pimpinan dunia bagi menterjemahkan bantahan global terhadap kekejaman rejim Zionis dalam bentuk tekanan diplomatik dan perubahan dasar.

“Kita mahu dunia faham bahawa ini bukan aksi simbolik atau suka-suka, tetapi tuntutan serius masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau turut menjangkakan konflik berkenaan berpotensi memuncak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sekiranya tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan bagi menghentikan keganasan dan membuka laluan bantuan kemanusiaan.

Diskusi itu disertai tiga ahli Jawatankuasa Pemandu GSF; Thiago Avila, Kleoniki Alexopoulou dan Saif Abukesyek selaku panel manakala Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bertindak sebagai moderator.

Pada September lalu, GSF pertama dilancarkan dan berjaya menghimpunkan penyertaan dari 45 negara termasuk 34 sukarelawan Malaysia, dalam usaha menembusi sekatan laut Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, misi tersebut dipintas tentera Israel sebelum para aktivis ditahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing, sekali gus mencetuskan kecaman meluas di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN