Mia Sarah Nasuha enggan komen konflik bersama Puteri Balqis

Mia Sarah Nasuha enggan komen konflik bersama Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mia Sarah Nasuha memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung dakwaan konflik melibatkan dirinya dan rakan selebriti, Puteri Balqis.

Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish sebelum ini mendakwa Mia pernah mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan ibunya, selain menuduh pelakon itu terlibat dalam perbuatan membuli di set penggambaran beberapa tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Aqish turut mendakwa dirinya menjadi mangsa buli oleh Mia bersama seorang lagi rakan pelakon, Rykarl Iskandarl, ketika mereka terlibat dalam sebuah produksi.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Mia Sarah ketika dihubungi Utusan Malaysia memilih untuk mengunci mulut berhubung perkara tersebut.

“Pihak kami tiada sebarang komen,” kata wakil pengurusan pelakon berkenaan.

Dalam pada itu, Aqish turut berkongsi pengalaman peribadi apabila mendakwa pernah ditolak ketika ingin bergambar bersama peminat kerana dianggap tidak popular pada ketika itu.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku ketika dia masih muda dan tidak berani bersuara kerana bimbang tindakannya dianggap sekadar gurauan kanak-kanak.

Sebelum ini, Aqish secara terbuka mendakwa Mia Sarah cuba meraih simpati media dengan menitiskan air mata dalam satu sesi temu bual, baru-baru ini.

Aqish juga mendakwa Mia Sarah pernah mengaibkan serta menghina ibunya, Norashikin Abdul Aziz, secara terbuka sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mental wanita itu.

Terdahulu, pada 2022, kemelut antara kedua-dua pelakon tersebut tercetus apabila Mia didakwa mengeluarkan komen menyentuh latar belakang dan cara didikan Aqish yang dikatakan tidak berlandaskan nilai Islam.

Bagaimanapun, Aqish tampil mempertahankan ibunya dengan menegaskan bahawa cara didikan seseorang tidak wajar dihakimi hanya berdasarkan pandangan luaran.

Difahamkan, kedua-dua pelakon itu telah saling memohon maaf dan Aqish berharap agar kesilapan sama tidak lagi berulang pada masa akan datang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN