KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur bakal menjadi pentas pertemuan komuniti muzik metal dan punk apabila festival muzik antarabangsa, Metalverse, dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 30 April dan 1 Mei ini di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, festival yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam itu diperkenalkan sebagai platform khusus untuk meraikan budaya metal dan punk yang dilihat lebih daripada sekadar aliran muzik, sebaliknya satu gerakan komuniti yang berteraskan semangat kebersamaan, kejujuran dan tenaga peminatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, penganjuran Metalverse lahir daripada keperluan untuk menyediakan platform berskala besar yang benar-benar memfokuskan genre metal dan punk di rantau ini.
“Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang matang serta bersemangat, namun festival besar yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada genre ini masih terhad.
“Metalverse diwujudkan bagi mengiktiraf budaya berkenaan, selain merapatkan hubungan antara peminat tempatan dan dunia metal serta punk antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, Megastar Arena Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana keupayaannya menawarkan keseimbangan antara kapasiti, sistem bunyi berkualiti dan akses yang mudah kepada peminat dari seluruh Lembah Klang serta luar kawasan.
Setakat ini, enam artis antarabangsa telah disahkan bakal membuat persembahan termasuk Of Mice & Men dan Blessthefall, antara kumpulan utama yang bakal menggegarkan pentas.
Pemilihan artis dibuat berdasarkan kekuatan persembahan langsung serta sambutan peminat terhadap band berkenaan.
Selain barisan artis antarabangsa, penganjur turut memberi penekanan kepada pembabitan artis tempatan yang akan diumumkan menjelang tarikh penganjuran, bagi memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya sebagai sebahagian daripada naratif Metalverse.
Dua kumpulan indie jemputan khas, Midnight Fusic dan Spooky Wet Dreams, turut dijadualkan beraksi.
Penganjuran Metalverse juga dilihat sebagai langkah awal untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab penting bagi festival muzik metal dan punk di peringkat serantau, selain membuka lebih banyak akses kepada peminat tempatan untuk menikmati persembahan artis antarabangsa tanpa perlu ke luar negara.










