Mediasi gagal, saman fitnah Teresa Kok–Akmal Saleh diteruskan

Mediasi gagal, saman fitnah Teresa Kok–Akmal Saleh diteruskan

TERESA Kok hadir di Mahkamah Ayer Keroh hari ini bagi proses mediasi berhubung saman fitnah yang difailkannya terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, sebelum kes berkenaan diteruskan ke perbicaraan pada Februari depan.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bermula pada 12 dan 13 Februari di Mahkamah Tinggi Melaka selepas proses mediasi kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Peguam Teresa Kok, Datuk Sankara Nair berkata, keputusan itu dicapai selepas mediasi yang diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suzana Mokhtar, bagi menyelesaikan saman fitnah tersebut di luar mahkamah tidak mencapai kata sepakat.

“Sebarang perbincangan yang berlaku sepanjang proses mediasi tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia tertakluk kepada peraturan dan arahan mahkamah,”
katanya ketika ditemui pemberita di luar Pusat Mediasi Mahkamah Melaka, di sini hari ini.

Terdahulu, proses mediasi yang berlangsung hampir sejam itu membabitkan antara Teresa Kok dan Dr. Muhamad Akmal yang masing-masing diwakili peguam Sankara Nair dan Syahrul Sazwan Salehin dan Iqbal Harith Liang.

Sementara itu, Muhamad Akmal mengesahkan bahawa proses mediasi yang diadakan mengikut arahan mahkamah tersebut gagal mencapai kata sepakat.

“Insya-Allah kita tunggu nanti, kita lawan bulan dua nanti,” katanya.

Pada Oktober 2024, Teresa Kok memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan SN Nair & Partners berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah oleh Dr. Muhamad Akmal dalam sebuah video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok pada 7 September tahun lalu.

Dalam saman tersebut, Teresa Kok menamakan Dr. Muhamad Akmal selaku defendan tunggal dan menuntut saman berjumlah RM25 juta sebagai pampasan serta ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Dr Akmal menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban terhadap peniaga.

Beliau menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’ sambil menyatakan Dr. Akmal tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN