KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengajak parti-parti komponen termasuk MCA dan MIC kembali merapatkan saf di bawah payung besar Barisan Nasional (BN).
Katanya, perbezaan pandangan dan rasa kecewa adalah lumrah dalam perjuangan politik, namun tidak seharusnya berpanjangan sehingga melemahkan kekuatan parti.
“Kita dakaplah balik sesama sendiri, merajuklah sekejap tidak mengapa. Marilah balik, dakaplah kita. Tapi janganlah merajuk lagi, kita pun tidak larat nak pujuk.
“Balik ke sini duduk dekat rumah besar kita, rakyat Malaysia, sahabat dalam Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.-UTUSAN










