TELUK INTAN: Sumbangan pihak Masjid Melayu Teluk Intan dan surau Kampung Durian Sebatang di sini, membantu seramai 54 murid dari tujuh sekolah di Teluk Intan dan Bagan Datuk memperoleh pakaian seragam baharu sebelum sesi persekolahan bermula.
Sumbangan tersebut sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa murid-murid berkenaan yang merupakan dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.
Seorang ibu, Rabiah Mokhtar, 35, dari Kampung Sungai Baru, Bagan Datuk memberitahu, dia menerima sumbangan tersebut untuk lima orang anaknya bagi membeli pakaian sekolah.
Katanya, dia hanya dapat membeli pakaian sekolah anak-anaknya semalam kerana baru mendapat bantuan tersebut.
“Saya hanya membeli pakaian sekolah anak semalam, kerana rezeki lambat sikit sampai. Anak-anak bersekolah dari tahun satu sampai tingkatan satu.
“Anggaran kos pakaian untuk semua mereka lebih kurang RM1,000, insya-Allah sumbangan yang diterima cukup untuk membeli pakaian sekolah untuk semua anak.
“Memang terbeban juga untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak seramai lima orang kerana suami bekerja sebagai nelayan dan saya suri rumah, namun kami tetap berusaha menyediakan keperluan sekolah anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Isa Mokhtar, 58, dari Kampung Bahagia di sini berkata, dia menerima bantuan membeli pakaian sekolah untuk anaknya yang bersekolah di tahun lima dan tingkatan enam.
“Saya beli pakaian sekolah anak pada hari terakhir cuti sekolah kerana tidak ada wang.
“Saya bersyukur kerana bantuan yang diterima membolehkan anak-anak saya mendapat pakain sekolah baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Melayu Teluk Intan, Ibrahim Arshad berkata, program itu diadakan pihak masjid dengan kerjasama Surau al-Arabia Kampung Durian Sebatang atas inisiatif jemaah memberi sumbangan pakaian murid dari keluarga kurang berkemampuan.
“Mereka dibawa ke sebuah kedai di sini dan memilih sendiri kelengkapan sekolah seperti kasut, stoking, seluar, baju tali pinggan dan tudung,” katanya dengan kos RM200 seorang. – UTUSAN










