PETALING JAYA: Artis popular Korea Selatan, Hwasa, Jay Park dan G-Dragon selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menjayakan Konsert K-Spark Malaysia yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka, hari ini.
Hwasa yang tiba di Kuala Lumpur semalam mencuri perhatian apabila sempat menyapa peminat yang setia menanti kehadirannya di lapangan terbang.
Menerusi video yang tular di media sosial, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Good Good Bye itu dilihat melambai tangan, menurunkan tandatangan, berbual mesra serta sempat mengusik peminat yang hadir.
“Malaysia panas, tapi saya sudah sedia,” katanya berseloroh sambil menunjukkan baju putih yang dipakainya di sebalik jaket kelabu tebal.
Sikap mesra dan humor Hwasa menerima pujian ramai peminat yang menyifatkannya sebagai seorang artis yang ramah serta mudah didekati.
Selain Hwasa, dua lagi bintang terkenal Korea Selatan, G-Dragon dan Jay Park turut dilaporkan tiba di KLIA malam tadi dan disambut sorakan peminat.
Konsert K-Spark Malaysia turut menampilkan barisan artis popular lain seperti ITZY, DPR Ian serta wakil bakat serantau termasuk kumpulan DOLLA dan 3P.
Difahamkan, peminat telah mula beratur di perkarangan Stadium Merdeka seawal pukul 8 pagi bagi menyaksikan konsert berkenaan. -UTUSAN










