Malaysia negara yang kerap dikunjungi Asia Tenggara 2025

Malaysia negara yang kerap dikunjungi Asia Tenggara 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai negara paling ramai dikunjungi di Asia Tenggara bagi tahun 2025 selepas merekodkan kehadiran 38 juta pelancong asing sehingga November lalu, sekali gus mengatasi Thailand yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan dalam sektor pelancongan.

Berdasarkan data Tourism Malaysia, jumlah ketibaan tersebut menunjukkan pemulihan kukuh industri pelancongan negara serta peningkatan berterusan berbanding tahun sebelumnya.

Catatan tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan teratas sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Prestasi itu disokong oleh peningkatan kemasukan pelancong dari negara jiran serta pasaran utama antarabangsa, selain kemudahan perjalanan dan kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan merangkumi bandar, alam semula jadi, makanan dan budaya.

Sementara itu, laporan Bloomberg memaklumkan Thailand hanya merekodkan kira-kira 33 juta ketibaan pelancong asing sepanjang tempoh sama, lebih rendah berbanding jangkaan awal pemulihan sektor pelancongan negara tersebut.

Menurut laporan itu, kelembapan berkenaan mencerminkan cabaran yang dihadapi Thailand dalam menarik semula pelancong antarabangsa berikutan perubahan corak perjalanan global serta tekanan kos perjalanan.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kejayaan Malaysia mencatat kemasukan pelancong melebihi sasaran membuktikan hala tuju dan strategi pelancongan yang digerakkan kerajaan berada di landasan tepat.

Katanya, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap produk, kemudahan dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan Malaysia merangkumi bandar, destinasi alam semula jadi, makanan serta kepelbagaian budaya.

Jelasnya lagi, peningkatan ketibaan pelancong didorong oleh pendekatan agresif kementerian dalam memudah cara perjalanan, memperluas jaringan penerbangan serta memperkukuh promosi berfokus di pasaran utama termasuk Timur Tengah, China, Singapura, Indonesia dan Asia Barat.

“Kejayaan itu tidak akan dijadikan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya menjadi asas kukuh bagi persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan penekanan terhadap pelancongan bernilai tinggi, mampan dan berkualiti,” katanya.

Jelas Tiong, matlamat kementerian adalah memastikan Malaysia bukan sahaja menerima lebih ramai pelancong, malah meningkatkan perbelanjaan pelancong serta mengekalkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pilihan utama di peringkat serantau dan global.

Sebelum ini, beberapa statistik tidak rasmi sebelum ini merekodkan jumlah pengunjung ke Malaysia pada tahun lalu melebihi sasaran asal, apabila negara mencatatkan kehadiran lebih 42 juta pelancong.

Pencapaian itu mencerminkan pemulihan kukuh sektor pelancongan negara, sekali gus menunjukkan keyakinan pelawat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi utama di rantau ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN