KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.9 peratus bagi tahun 2025 mengatasi unjuran rasmi sebelum ini iaitu di antara 4 sehingga 4.8 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain angka membanggakan itu, prestasi ringgit turut mengukuh dan terbaik sejak lima tahun lalu iaitu RM4.05.
Kata beliau, indeks saham utama Malaysia juga melonjak ke paras 1,700 mata sejak tujuh tahun lalu.
Selain itu katanya, kadar pengangguran juga menurun sejak November tahun lalu iaitu sebanyak 2.9 peratus sekali gus menjadi kadar terendah dalam tempoh 11 tahun ini.
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan dan institusi berkaitan yang menjamin kestabilan politik serta kesinambungan kejelasan dasar bersama usaha gigih perkhidmatan awam peniaga dan pelabur.
“Keduanya tentang hala tuju negara agak jelas, Pelan Induk Perindustrian, Transformasi Digital dan peralihan tenaga,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) meminta Perdana Menteri menyatakan faktor-faktor yang menyumbangkan kepada prestasi pertumbuhan ekonomi tahun lalu yang dijangkakan akan mengatasi unjuran di antara 4.0 peratus 4.8 peratus.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyifatkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi sebagai langkah berani yang tertangguh puluhan tahun yang berjaya mengekang ketirisan serta menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion.
“Dasar fiskal yang dilaksanakan bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi malah memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
“Angka-angka makro ekonomi yang memberangsangkan ini tidak akan bermakna sekiranya tidak disusuli dengan pelaksanaan program bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SAR), peningkatan gaji penjawat awam, kenaikan gaji minimum, serta peruntukan berterusan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan,” katanya. – UTUSAN










