Makin kacak di usia 40-an, Fahrin Ahmad boleh jadi Tom Cruise Malaysia - Utusan Malaysia

Makin kacak di usia 40-an, Fahrin Ahmad boleh jadi Tom Cruise Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara popular, Fahrin Ahmad, 46, sekali lagi mencuri perhatian apabila dilabel sebagai antara selebriti lelaki paling kacak meskipun industri hiburan kini dibanjiri pelakon generasi baharu.

Perkara itu tercetus susulan tularnya satu hantaran di media sosial yang membandingkan ketampanan Fahrin dengan barisan pelakon muda masa kini, sekali gus mengundang pujian ramai.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Fahrin meluahkan rasa syukur namun mengakui berhati-hati agar pujian tidak membuatkannya leka dan lupa diri.

“Saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip iaitu pujian perlu diterima dengan penuh kewaspadaan. Jangan terlalu bangga atau selesa kerana perkara itulah yang boleh menyebabkan seseorang alpa dan akhirnya jatuh.

“Saya menghargai apabila peminat masih mengenang dan membandingkan saya dengan generasi sekarang. Ia satu bentuk pengiktirafan walaupun saya merasakan sudah melepasi fasa ‘puncak’ kerjaya,” katanya.

Menurut Fahrin, beliau kini lebih melihat dirinya berada dalam kelompok pelakon matang seumpama bintang Hollywood seperti Tom Cruise dan Brad Pitt.

“Secara faktanya, tempoh kemuncak pelakon Hollywood adalah selepas usia 40 tahun. Pelakon di bawah 30 tahun biasanya masih dalam fasa pembentukan.

“Sesiapa yang mampu bertahan sehingga usia 40 tahun ke atas, di situlah sebenarnya waktu kemuncak mereka,” jelasnya.

Walaupun telah mencecah usia 40-an, Fahrin masih menerima tawaran watak utama, sekali gus membuktikan keyakinan pihak produksi terhadap kualiti lakonannya.

Sehubungan itu, beliau berharap industri seni tempatan lebih terbuka dalam memberikan ruang kepada pelakon berusia 40-an dan ke atas untuk terus menerajui watak utama.

“Saya berharap persepsi bahawa usia 40-an hanya sesuai membawa watak bapa atau 50-an terhad kepada peranan tertentu dapat diubah.

“Selagi seseorang itu mampu menjaga kualiti lakonan, rupa paras dan bakat, berilah peluang. Jangan jadikan faktor umur sebagai penghalang untuk kami terus memimpin sesebuah naskhah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahrin bakal tampil dalam drama terbaharu berjudul Flat Simpang Satu yang akan ditayangkan di platform Unifi.

Menerusi naskhah tersebut, beliau membawakan watak Hadi Burger, seorang penjual burger yang menjadi kunci utama kepada penyelesaian pelbagai misteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN