SUNGAI PETANI: Lebih 70 peratus usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini terdiri daripada perusahaan mikro, mencerminkan realiti bahawa sebahagian besar pemain industri masih pada tahap bertahan, bukannya berkembang secara mampan.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Malaysia merekodkan 1.086 juta PMKS pada 2024, iaitu 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
“Sekiranya menyentuh tentang ekonomi Malaysia, hakikatnya kita sedang bercakap tentang PMKS, bukan syarikat gergasi semata-mata atau bukan pelabur asing sahaja.
“Tetapi PMKS yang membuka kedai, membina bengkel, menjalankan perkhidmatan dan memberi kerja kepada jutaan rakyat. Namun, satu perkara yang kita mesti jujur untuk akui adalah lebih 70 peratus PMKS adalah perusahaan mikro.
“Ini bermaksud terlalu ramai yang masih berada di tahap bertahan bukan di tahap berkembang dan inilah cabaran utama yang perlu kita tangani bersama,” katanya selepas menghadiri Program Turun Padang Penasihat Khas MPUPK dan Dialog Bersama Usahawan Bumiputera Zon Utara di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, program berkenaan adalah sesi turun padang pertamanya selepas dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Khas MPUPK pada Oktober tahun lalu.
“Sebagai Penasihat Khas MPUPK, saya ingin melihat lebih ramai PMKS Bumiputera naik kelas. Daripada mikro kepada kecil, daripada kecil kepada sederhana dan daripada pemain tempatan kepada pemain serantau.
“Sebab itu, pendekatan kerajaan hari ini bukan lagi sekadar membantu untuk hidup tetapi membantu sektor berkenaan untuk terus membesar,” ujarnya.
Beliau berkata, data rasmi terkini menunjukkan terdapat seramai 222,495 PMKS yang beroperasi di wilayah Utara dengan Pulau Pinang sahaja mempunyai lebih 84,000 usahawan itu.
“Negeri Perak pula memiliki hampir 81,000 PMKS, diikuti Kedah mencatat hampir 50,000 dan Perlis lebih 8,000 usahawan. Ini bukan angka kecil tapi inilah ekosistem perniagaan yang hidup dan di sinilah majoritinya digerakkan oleh usahawan Bumiputera.
“Antara lain kalau ekonomi Zon Utara bergerak, ekonomi negara akan turut bergerak tetapi kalau PMKS di Zon Utara tertekan, kesannya akan dirasai di seluruh rantaian ekonomi daripada pembekal, pekerja, hinggalah kepada keluarga,” katanya. – UTUSAN










