MAIWP salur RM6.71 juta biasiswa pendidikan pelajar, siswa asnaf

MAIWP salur RM6.71 juta biasiswa perkasa pendidikan pelajar, siswa asnaf

Dr. Zulkifli Hasan (hadapan, tengah) dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (hadapan, tiga dari kiri) bersama penerima dalam Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM6.71 juta menerusi Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang kepada 169 mahasiswa dan pelajar sekolah dari keluarga asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, daripada jumlah itu, RM5.63 juta diperuntukkan kepada mahasiswa dalam negara, RM604,000 kepada mahasiswa luar negara dan RM470,500 kepada pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, bantuan itu merangkumi pembiayaan yuran pengajian, makan minum serta keperluan pembelajaran, termasuk pembiayaan penuh dan tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Ini adalah antara inisiatif dan usaha yang paling signifikan serta strategik kerana kita membantu anak-anak ini melalui pendidikan.

“Dengan peluang menimba ilmu dan memperoleh ijazah, mereka mampu mengubah masa depan diri dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penye­rahan Biasiswa Pelajar Cemerlang di sini, semalam.

Bagi penerima biasiswa dalam negara, Abdul Hazim Salaman, 21, bantuan itu meringankan beban sepanjang tempoh belajar.

“Dengan lebih RM47,000 biasiswa diterima, ia membantu dari segi kewangan, sara hidup harian dan membeli alat belajar.

“Saya dari keluarga yang susah, ayah buruh binaan dan ibu suri rumah. Jadi, biasiswa MAIWP ini sangat bermanfaat untuk diri saya,” katanya.

Bagi penerima biasiswa sekolah menengah, Auliya Mohamad Zuwairi, 14, berkata, bantuan yang diterima digunakan sepenuhnya untuk membantunya dalam pelajaran.

“Saya gunakan duit biasiswa ini untuk membayar kelas tambahan kerana yuran semakin mahal dan selebihnya baru saya akan beli barangan sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×