Mahu jumpa anak, jangan kecam Uqasha - Kamal Adli - Utusan Malaysia

Mahu jumpa anak, jangan kecam Uqasha – Kamal Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, berharap agar bekas isteri, Uqasha Senrose, dapat memudahkan urusannya bertemu dengan anak tercinta, Hawra Uqaira, selepas ini.

Ujar Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, dia kesal kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama puteri tercintanya itu.

“Saya harap selepas ini saya boleh lebih senang untuk berjumpa dengan Hawra. Sebelum ini memang agak susah juga untuk jumpa dia. Sebenarnya sudah lama saya tak luangkan masa dengan Hawra.

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya rasa saya hanya sempat berjumpa dengan Hawra sekitar lima kali sahaja.

“Jadi saya harap selepas ini semuanya dipermudahkan untuk saya jumpa dan meluangkan masa dengan anak,” katanya.

Kamal berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Isnin.

Menerima perceraian dengan hati terbuka, Kamal berharap orang ramai juga dapat menerima keputusan ini tanpa mengecam atau memberi komen negatif kepada Uqasha.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dari awal. Cuma saya nak pesan, tolong jangan tulis komen yang buruk tentang Uqasha. Tolong jangan kecam dia.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Dari awal lagi saya cuba mempertahankan rumah tangga kami, tetapi jika Allah sudah tetapkan sampai di sini, saya terima,” ujarnya.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari Isnin.

Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Puan Siti Noraini Mohd Ali.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN