SUNGAI BULOH: Program Leadership Apprenticeship 3.0 (LAPIS 3.0) anjuran mahasiswa semester empat Program Pengurusan Komunikasi dan Polisi (MC248) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan aktif 25 orang pemimpin muda dalam kalangan penghuni Rumah Kasih Harmoni (RKH), Paya Jaras, Sungai Buloh.
Program yang berlangusng pada awal Januari lalu itu bertujuan menggilap kemahiran komunikasi kepimpinan dan mengukuhkan jati diri peserta melalui modul interaktif yang direka khas.
Rumah Kasih Harmoni (RKH) adalah pusat jagaan di Paya Jaras yang menempatkan anak-anak yatim dan golongan asnaf serta menyediakan sokongan pendidikan dan pembangunan sahsiah kepada mereka yang memerlukan sokongan.
“Rumah Kasih Harmoni yang menempatkan lebih 100 kanak-kanak dan remaja yatim dipilih kerana misinya menyediakan persekitaran yang selamat serta menyokong pembentukan sahsiah dan kepimpinan dalam diri remaja kurang bernasib baik dan terabai yang akan melangkah ke alam dewasa yang lebih mencabar adalah selaras dengan matlamat LAPIS 3.0 untuk memupuk kepimpinan secara holistik kepada semua orang,” kata Pengarah Projek LAPIS 3.0. Nik Aqeed Azzrai Nik Reza Fahmi,

Katanya, pengisian program memfokuskan kepada aktiviti praktikal yang diselaras 15 fasilitator MC248 yang memerlukan kerjasama pasukan dan strategi komunikasi yang berkesan.
Menurut beliau, antara aktiviti utama LAPIS adalah “Menara Kejayaan” dan “Ikut Arah Angin” yang menguji keupayaan peserta berkomunikasi dalam kumpulan dan membuat keputusan pantas dalam penyelesaian masalah serta membina silang kepercayaan dan tanggung jawab.
“Selain itu, sesi perkongsian dan sumbang saran tentang kepimpinan dalam diri individu turut dilakukan untuk memberi ruang interaksi peserta dan fasilitator,” katanya.
Pegawai Pentadbiran Rumah Kasih Harmoni, Umairah Noraqilah Sulaiman berkata, aktiviti latihan yang diadakan oleh mahasiswa UiTM itu memberi impak besar kepada keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi anak-anak jagaannya.
“Program LAPIS 3.0 ini memberikan pendekatan yang sangat berbeza dan segar berbanding aktiviti pembangunan sahsiah yang pernah dijalankan sebelum ini. Saya melihat perubahan positif pada anak-anak yang sebelum ini agak pemalu tetapi mula berani ke hadapan untuk menyuarakan pendapat mereka dengan yakin,” jelas Umairah.
Maklum balas positif turut diakui oleh para peserta program. Puteri Annum Amrizza Abdul Malik, 16, menyatakan bahawa latihan ini memberikan dimensi baharu dalam cara beliau berkomunikasi dengan orang sekeliling.
Sementara itu, Nur Atiqah Saffiyyah Abdullah, 16, berpuas hati dengan susun atur program LAPIS 3.0 terutamanya dalam segmen “Warkah untuk Masa Depan” yang memberi peluang setiap penghuni menulis surat untuk diri mereka pada masa sepuluh tahun akan datang dan meletakkannya dalam kapsul masa yang dibawa pulang ke UiTM Shah Alam.

Muhammad Izzan Mohd Jumsey, 15, pula menyifatkan suasana yang diwujudkan melalui pelbagai aktiviti LAPIS 3.0 sangat meriah dan menyeronokkan kerana semua aktiviti melibatkan keseimbangan antara fizikal, mental, spiritual dan kognitif.
Nik Aqeed Azzrai berkata kejayaan program ini adalah hasil daripada perancangan rapi dan kolaborasi erat bersama para pensyarah kursus sejak awal semester lagi, meliputi reka bentuk modul latihan serta simulasi latihan kepimpinan yang dijalankan dan diperhalusi sebelum acara sebenar.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang memberikan komitmen, dedikasi dan sokongan padu dalam menjayakan LAPIS 3.0, terutamanya peserta dan rakan strategik industri yang menaja pelbagai hadiah menarik.
“Sumbangan dan kerjasama semua pihak inilah yang menjadi kunci utama kepada impak positif dan kejayaan LAPIS sejak tiga semester lepas dan membuktikan bahawa semangat sinergi mampu membantu usaha melahirkan pemimpin muda yang berkualiti dan berdaya saing walaupun untuk mereka daripada persekitaran yang mencabar,” tambah beliau.
LAPIS 3.0 turut berfungsi sebagai platform pembelajaran autentik bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori kepimpinan dalam konteks dunia sebenar, sekaligus menyokong aspirasi UiTM dalam memupuk nilai tanggungjawab sosial dan kerjasama berterusan antara pihak universiti, komuniti dan industri. – UTUSAN










