Mahasiswa UiTM anjur Hearts in Harmony bantu masyarakat

Mahasiswa UiTM anjur Hearts in Harmony bantu masyarakat

Program Hearts in Harmony 2026 bersama Yayasan Noor Manzil berjaya menghimpunkan mahasiswa, rakan kerjasama dan komuniti dalam usaha memperkukuh kesedaran kesihatan serta nilai empati melalui pendekatan komunikasi yang berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antarapersonal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam baru-baru ini menganjurkan program khidmat komuniti Hearts in Harmony with Yayasan Noor Manzil di Yayasan Noor Manzil, Puchong, Selangor.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh serta sokongan Nestlé Malaysia sebagai penaja bersama.

Program tersebut melibatkan seramai 21 orang penghuni Yayasan Noor Manzil, terdiri daripada anak-anak yatim piatu, golongan asnaf, serta warga emas dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran kesihatan, khususnya penjagaan kesihatan mulut dan gigi, di samping memupuk nilai empati serta keterangkuman sosial dalam kalangan komuniti yang memerlukan.

Sebagai peneraju program, peranan mahasiswa penting dalam perancangan komunikasi strategik, pengurusan penglibatan komuniti serta penyampaian mesej berasaskan pendekatan komunikasi kesihatan dan interpersonal.

Inisiatif tersebut turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang mengintegrasikan teori komunikasi dengan realiti masyarakat. Komponen kesihatan program tersebut diperkukuh melalui penglibatan Fakulti Pergigian UiTM, melalui perkongsian santai berkenaan penjagaan kesihatan gigi, demonstrasi memberus gigi serta pemeriksaan pergigian percuma kepada penghuni yayasan ini.

Pendekatan interaktif dan mesra komuniti digunakan bagi memastikan penyampaian mesej kesihatan lebih berkesan dan mudah difahami.

Sokongan Nestlé Malaysia sebagai penaja bersama turut memperkukuh mesej berkaitan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat, selari dengan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.

Walaupun berteraskan pendidikan kesihatan, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembinaan hubungan sosial melalui aktiviti interaktif seperti Healthy Habit Relay Game dan permainan pendidikan kesihatan yang menggalakkan komunikasi, kerjasama serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.

Yayasan Noor Manzil yang membawa makna “Destinasi Cahaya” merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited menyediakan perlindungan, penjagaan menyeluruh, serta sokongan moral yang berterusan kepada anak-anak yatim piatu, golongan asnaf, dan individu yang kurang bernasib baik, sejak penubuhannya pada tahun 1995.

Sepanjang hampir tiga dekad beroperasi, yayasan berkenaan bukan sekadar menjadi pusat perlindungan, malah bertindak sebagai pemangkin perubahan hidup bagi setiap insan yang bernaung di bawah bumbungnya.

Kini, Yayasan Noor Manzil menjadi rumah buat 20 orang penghuni yang datang daripada pelbagai latar belakang mencabar.

Di sini, mereka dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif dan penuh kasih sayang bagi menyokong perkembangan fizikal, kestabilan emosi, serta kecemerlangan pendidikan secara seimbang.

Peranan yayasan sebagai rumah harapan telah membuahkan hasil, di mana ramai dalam kalangan bekas penghuninya kini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya membina kerjaya yang stabil demi masa depan yang lebih cerah. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran,

Yayasan Noor Manzil terus berperanan dalam menyediakan persekitaran selamat, sokongan moral dan sosial, serta peluang membina kehidupan yang lebih cerah kepada penghuninya melalui ilmu, disiplin, dan ketahanan diri yang secukupnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN