Seramai 42 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada beberapa sekolah terpilih menyertai Program Ke Arah Jurutera Profesional Pasca SPM anjuran Geng Surau Putrajaya (GSP) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), yang diadakan baru-baru ini.
Program tersebut melibatkan penyertaan pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMKA Putrajaya) dan Sekolah Alam Shah (SAAS).
Menurut penganjur, program tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, khususnya kepada pelajar lepasan SPM yang berpotensi dan berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
Selain perkongsian hala tuju akademik dan kerjaya, program berkenaan turut menekankan aspek pembinaan sahsiah, nilai amanah serta integriti profesional berteraskan Islam, selaras dengan keperluan melahirkan jurutera masa hadapan yang seimbang dari sudut ilmu, kemahiran dan akhlak.
Wakil Geng Surau Putrajaya berkata, program berkenaan menjadi sebahagian usaha berterusan pihaknya dalam membantu membangunkan modal insan berpendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang secara teknikal, malah mempunyai kesedaran tanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negara.-UTUSAN










