Lelaki Bangladesh simpan 100 kura-kura, labi-labi tanpa lesen ditahan

Lelaki Bangladesh simpan 100 kura-kura, labi-labi tanpa lesen ditahan

MOHD. Zaide Mohamed Zin (kiri) menunjukkan sebahagian daripada kura-kura dan labi-labi yang dirampas ketika sidang akhbar di pejabat Perhilitan Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Gara-gara menyimpan 100 ekor kura-kura dan labi-labi tanpa lesen, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang dalam satu serbuan di rumahnya di Bagan Lalang, Butterworth, kelmarin.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 4.45 petang itu dibuat selepas risikan berkaitan dijalankan selama hampir dua minggu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek menyimpan 94 ekor kura-kura pelbagai spesies termasuk katup, kolam, ‘Chinese Striped-Nosed’ dan ‘Red-eared Slider’ serta enam ekor labi-labi biasa.

“Kesemua haiwan itu ditempatkan di dalam beberapa tong plastik. Nilai haiwan ini secara keseluruhannya pula dianggarkan mencecah RM20,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek telah lama terlibat dalam aktiviti berkenaan kerana bukan mudah untuk mengumpul sehingga 100 ekor kura-kura dan labi-labi dalam tempoh yang singkat.

“Tidak mustahil pengumpulan haiwan ini mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Kesemua haiwan eksotik tersebut dipercayai untuk dijual kepada rumah ibadat bagi tujuan upacara keagamaan dengan harga antara RM20 hingga RM200 seekor, bergantung kepada jenis dan saiz,” ujarnya.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek yang berusia 45 tahun itu memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesnya kini disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Dia (suspek) juga telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya yang turut mengingatkan mana-mana individu yang berminat memelihara kura-kura atau labi-labi supaya mendapatkan lesen sah daripada Perhilitan.

Tambah Mohd. Zaide, semua haiwan yang dirampas akan dilepaskan semula ke habitat asal selepas perintah pelupusan diperoleh daripada mahkamah, manakala spesies luar negara pula akan ditempatkan sementara di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak bagi tujuan kuarantin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN