'Lebih ramai Akmal lahir lawan kamu' - Utusan Malaysia

‘Lebih ramai Akmal lahir lawan kamu’

MUHAMAD Akmal Saleh ketika ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berikrar untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda sepertinya bagi memperkukuh jentera parti dan berdepan pihak lawan, susulan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Beliau berkata, tanpa beban tugas dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau kini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasakan parti serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Saya mahu beritahu, apabila saya meletakkan jawatan sebagai Exco, saya boleh memberi jaminan akan melahirkan ratusan ribu ‘Akmal Saleh’ untuk berhadapan dengan pihak lawan,” katanya yang disambut sorakan para perwakilan.

Menurut beliau, keputusan itu bukan bersifat simbolik, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan Pemuda UMNO benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita mesti bersedia untuk PRU16. Insya-Allah, UMNO akan kembali menjadi parti dominan di tanah air,” katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Pemuda UMNO.

Terdahulu, dalam ucapan dasar pada sebelah pagi, Dr. Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tetap menghormati keputusan kepimpinan parti untuk kekal bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan, walaupun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangannya terhadap kerjasama tersebut.

Kenyataan Dr. Akmal itu menyusul selepas seorang pemimpin UMNO berpandangan bahawa tidak wujud keperluan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri semata-mata bagi menentang DAP.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN