Lebih baik kita saling menyokong - Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Lebih baik kita saling menyokong – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 47, enggan ambil pusing terhadap komen negatif mengenai konsertnya yang dilayangkan seorang penganjur terkenal, baru-baru ini.

Menurut penyanyi tersohor itu, beliau menganggap komen-komen sedemikian sebagai antara perkara biasa yang sering dihadap seorang anak seni justeru ianya tidak perlu diberikan perhatian.

“Kalau dibaca semula, respons saya bukanlah kepada kenyataan individu tersebut, sebaliknya saya sekadar menjawab pertanyaan peminat.

“Jadi, saya katakan yang saya ini tidak pernah ditawarkan membuat konsert oleh individu tersebut dan saya berseloroh sambil meletakkan lirik lagu dalam jawapan saya itu.

“Peminat saya bijak. Sebab itu saya tak perlu membalas kenyataan negatif mana-mana pihak kerana mereka akan lebih awal melenting.

“Itu sudah cukup. Tak perlu saya melenting sama,” katanya dalam majlis sambutan ulang tahun kelahirannya serta apresiasi bersama media, di Forest Valley Cheras, semalam.

Terdahulu, seorang penganjur acara dihujani kecaman kerana menyindir sebuah konsert yang dipercayai ditujukan kepada penyanyi nombor satu negara itu.

Individu berkenaan bagaimanapun menafikan yang sindiranmya di Instagram Story itu ditujukan kepada konsert Siti Nurhaliza.

Penyanyi kesayangan ramai itu dalam masa yang sama berharap situasi berkenaan dapat dijadikan pengaran buat seluruh penggiat industri seni tempatan.

“Kita raikan dan hargailah semua orang dalam industri ini. Jangan ada perasaan yang kita ini lebih bagus daripada orang lain.

“Kalau tak ada perkara baik yang ingin diperkatakan tak perlulah ditulis di media sosial untuk merendahkan orang lain.

“Lebih baik kita saling menyokong. Dunia seni baru nak meriah. Tapi bila berlaku perkara negatif seperti ini, jadi tak bagus.

“Jadi tak perlulah kita mengata, lebih-lebih lagi di media sosial. Industri seni kita ini tidak besar mana pun. Ke mana sahaja kita pergi, pasti akan berjumpa orang yang sama,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN