PETALING JAYA: Lebih 20,000 kanak-kanak Gaza dilaporkan terkorban manakala ribuan lagi masih hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat serangan berterusan Israel.
Kedutaan Palestin memberitahu Utusan Malaysia, antara tragedi tragis yang terbaharu ialah kematian 13 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak, dalam satu serangan yang dilancarkan baru-baru ini, mencerminkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Katanya, kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kem Pelarian Jabalia menjadi simbol kegagalan perlindungan terhadap orang awam, walaupun kawasan tersebut sebelum ini diumumkan sebagai zon yang telah dikosongkan oleh tentera Israel.
“Selain serangan ketenteraan, musim sejuk yang melampau turut meragut nyawa lebih 15 penduduk, termasuk seorang bayi berusia tujuh hari, akibat kesejukan ekstrem dan kekurangan perlindungan asas.
“Seramai 442 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh sejak gencatan senjata diumumkan sehingga Januari 2026, menjadikan jumlah keseluruhan korban kini mencecah 71,412 nyawa,” katanya.
Katanya, walaupun perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan, serangan dan tembakan dilaporkan masih berterusan di beberapa kawasan.
Ia sekali gus mencetuskan ketakutan dan tekanan emosi berterusan kepada penduduk yang sudah lama hidup dalam trauma peperangan.
Katanya, hampir satu juta penduduk Gaza kini hidup dalam keadaan terdedah tanpa tempat tinggal yang selamat, sekali gus meningkatkan tekanan mental dan emosi akibat ketidaktentuan masa depan.
“Kanak-kanak, warga emas serta golongan cedera merupakan golongan paling terkesan apabila kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan rasa selamat yang selama ini hanya menjadi impian,” katanya.
Dalam pada itu, sekatan bantuan kemanusiaan dan kekurangan bahan api terus menyukarkan operasi rawatan perubatan, menyebabkan penderitaan fizikal serta emosi penduduk Gaza berada pada tahap yang semakin kritikal.
Sementara itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, walaupun 600 trak bantuan kemanusiaan dijanjikan untuk memasuki Gaza semasa tempoh gencatan senjata, Israel membenarkan sekitar 200 trak sahaja.
Beliau berkata, situasi itu mengakibatkan kekurangan barangan keperluan asas, khususnya bekalan makanan dan perubatan, sekali gus memburukkan lagi keadaan penduduk yang sedia terhimpit.
“Kemudahan kesihatan di Gaza kini beroperasi pada tahap kurang 30 peratus kapasiti dengan hanya beberapa hospital masih berfungsi namun mengalami kerosakan serius termasuk kekurangan ubat-ubatan serta peralatan perubatan.
“Kanak-kanak adalah kumpulan berisiko tinggi apabila berdepan kekurangan akses kepada pemakanan seimbang serta gizi yang mencukupi untuk kelangsungan hidup.
“Ribuan kanak-kanak jadi yatim piatu dan hilang ahli keluarga akibat konflik berpanjangan, sekali gus meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap generasi masa depan Gaza,” katanya. – UTUSAN











