KUALA LUMPUR: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan mengambil siasatan membabitkan laporan polis yang dibuat bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan berkait pendedahan maklumat perbankan serta kenyataan tidak benar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan perkara itu selepas diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh Mohammad Hafizuddeain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, tengah hari tadi.
“Saya sahkan, pihak Polis Kuala Lumpur, ada menerima laporan yang dibuat oleh beliau (Mohammad Hafizuddeain).
“Pada masa ini, isi kandungan dan siasatan telah diambil alih oleh USJT, JSJ Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mohammad Hafizuddeain membuat laporan polis berhubung pendedahan maklumat perbankan, jam tangan dan kenyataan tidak benar yang dikeluarkan terhadapnya oleh aktivis Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard menerusi media sosial Facebook.
Peguamnya, Aizul Rohan Anuar berkata, Chegu Bard telah membuat kenyataan tidak benar selain mendedahkan maklumat perbankan Mohammad Hafizuddeain yang mengandungi beberapa transaksi yang dinafikan anak guamnya.
Selain itu juga, Mohammad Hafizuddeain turut membuat laporan berhubung kenyataan terhadapnya yang memiliki serta memakai jam tangan berjenama mewah seperti Patek Phillipe.
Katanya, dakwaan itu palsu dan mengelirukan kerana jam tangan itu merupakan jam rasmi dikeluarkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang tertera perkataan ‘Chief Of Army’. – UTUSAN









