KUALA LUMPUR: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu disandang oleh ketua parti terbesar dalam gabungan iaitu Pas selaras dengan struktur dan amalan kepimpinan politik.
Pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, isu kepimpinan PN tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan struktur dalaman gabungan dan memberi kesan langsung terhadap keyakinan penyokong menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Bagi saya, tidak wajar seseorang berada di atas Presiden parti lain. Tetapi sekiranya ada keputusan lain, ia adalah keputusan Majlis Tertinggi. Biarlah gabungan ini membuat ketetapan secara bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan memimpin gabungan itu dengan antara nama disebut adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun beliau menolak jawatan tersebut kerana keuzuran.
Mengulas kesediaan Pas menerajui PN, Mohd. Redzuan berkata, parti itu dilihat telah bersedia memikul tanggungjawab tersebut, lebih-lebih lagi sebagai blok terbesar dalam gabungan berkenaan.
“Saya melihat Pas sudah bersedia memikul tanggungjawab itu. Cabaran utama selepas ini adalah melihat reaksi rakyat dan penyokong terhadap struktur kepimpinan baharu PN.
“Kita perlu melihat bagaimana persepsi awam dan reaksi penyokong di peringkat akar umbi terhadap penstrukturan kepimpinan ini. Persepsi rakyat akan memberi kesan langsung kepada kedudukan PN di mata pengundi,” katanya.
Mohd. Redzuan berkata, proses pemilihan kepimpinan perlu dibuat secara konsensus bagi memastikan kestabilan gabungan khususnya untuk berdepan pihak lawan pada PRU16 nanti.
“Ini bukan perkara kecil dan tidak boleh diambil ringan. Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan hasrat meletakkan jawatan, namun siapa yang menerajui PN selepas ini bergantung kepada keputusan kepimpinan empat parti dalam gabungan tersebut,” katanya.
Berhubung hasrat Muhyiddin meletakkan jawatan, Mohd. Redzuan berkata, keputusan tersebut telah difikirkan sejak sekian lama mengambil kira implikasinya terhadap PN khususnya dari sudut kesiapsiagaan gabungan menjelang PRU16.
“Setahu saya, hasrat itu bukan keputusan mendadak. Tan Sri Muhyiddin menilai impaknya terhadap PN dan mengkaji kedudukan gabungan terutama menjelang pilihan raya akan datang.
“Beliau bukan individu yang gilakan jawatan. Desas-desus yang bertebaran di media sosial itu tidak benar.
“Perkara itu adalah hak peribadi beliau. Sesiapa yang dilantik kelak bertanggungjawab memimpin gabungan ini dengan mengambil kira sentimen penyokong juga” katanya.









