KINABATANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan, Naim Moktar menegaskan komitmen mewujudkan pentadbiran telus, seimbang dan boleh disemak oleh seluruh rakyat sekiranya diberi mandat.
Beliau berkata, ketelusan merupakan asas utama dalam membina keyakinan masyarakat terhadap wakil rakyat dan memastikan setiap amanah dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Saya akan mewujudkan sebuah laman web dikenali sebagai Kinabatangan Best yang memaparkan laporan, pergerakan dan aktiviti parlimen secara terbuka kepada umum.
“Laman web ini juga akan menyenaraikan lokasi menarik, peluang pekerjaan serta tawaran daripada syarikat dan agensi yang beroperasi di Kinabatangan,” katanya ketika ditemui di sini.
Laman web itu akan berfungsi sebagai pusat maklumat menyeluruh bagi membolehkan rakyat menilai secara langsung setiap tugasan, program serta hasil kerja pejabat parlimen.
Katanya, keterbukaan maklumat itu dapat menepis sebarang tuduhan seperti penyalahgunaan peruntukan, kegagalan menunaikan janji atau kelewatan pelaksanaan projek kerana rakyat sendiri boleh membuat penilaian.
Dalam perkembangan berkaitan, Naim menegaskan keutamaannya untuk menziarahi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memahami denyut nadi masyarakat setempat.
Pendekatan turun padang penting bagi memastikan suara rakyat didengari secara langsung, sekali gus membantu merangka perancangan pembangunan yang lebih tepat, inklusif dan berkesan untuk jangka panjang. – UTUSAN











