Kumpulan Kee Ming sasar kumpul RM25.32 juta melalui IPO - Utusan Malaysia

Kumpulan Kee Ming sasar kumpul RM25.32 juta melalui IPO

SAARANI Mohamad (tengah) pada Majlis Pelancaran Prospektus Kumpulan Kee Ming Berhad di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Firma kejuteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) berpusat di Ipoh, Kumpulan Kee Ming Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM25.32 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada harga terbitan 38 sen sesaham.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Kee Ming Berhad, Liew Kar Hoe, tawaran IPO itu melibatkan terbitan awam 66.63 juta saham baharu.

“Hasil digunakan terutamanya bagi menyokong pelaksanaan projek masa hadapan termasuk penyediaan modal kerja dan bon prestasi, selain pelaburan dalam sistem dan sumber manusia.

“Penyenaraian awam itu menandakan fasa baharu dalam perjalanan syarikat selepas kira-kira 13 tahun beroperasi dalam industri kejuruteraan M&E,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Prospektus Kumpulan Kee Ming Berhad di sebuah hotel di Ipoh hari ini.

Majlis dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Kata Kar Hoe, IPO itu akan memperkukuh keupayaan operasi syarikat dan membolehkan Kee Ming melaksanakan projek yang lebih besar serta lebih kompleks merentasi segmen perindustrian, komersial, kediaman dan tenaga bersih, termasuk infrastruktur awam serta kemudahan sambungan.

“Hasil IPO akan dimanfaatkan secara strategik dengan RM13 juta diperuntukkan sebagai modal kerja projek, RM4 juta bagi bon prestasi, selain peruntukan untuk pengembangan pasukan projek, pembelian sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan keperluan operasi lain.

“Sebagai syarikat yang bermula di Ipoh, kami mahu mengekalkan bakat tempatan dan menyediakan platform jangka panjang untuk mereka berkembang bersama syarikat. Penyenaraian awam membolehkan kami melakukan perkara itu dengan lebih berkesan,” katanya.

Kumpulan Kee Ming merupakan penyedia penyelesaian kejuruteraan M&E yang komprehensif, meliputi kerja-kerja elektrik voltan tinggi, sederhana dan rendah, sistem voltan ekstra rendah, serta perkhidmatan mekanikal seperti sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV) serta perlindungan kebakaran.

Syarikat itu turut terlibat dalam infrastruktur tenaga bersih termasuk pemasangan fotovoltaik solar (PV) dan penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik (EV). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN