PETALING JAYA: Pelakon, Farid Kamil, mencuri perhatian apabila memuat naik luahan penuh emosinya yang ditujukan buat dua orang anaknya, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Menerusi perkongsian tersebut, Farid atau Farid Kamil Zahari, 44, berkata dia bertahan hidup sehingga hari ini kerana tahu anak-anak yang disayangi masih memerlukannya sebagai seorang ayah.
“Kuatnya aku hari ini, bukan sebab aku tak penat, tapi sebab aku tak ada pilihan untuk berhenti. Berdirinya aku di sini, kerana ada anak yang masih memerlukan,” tulisnya ringkas menerusi satu video ringkas berdurasi kurang daripada 30 saat.
Hantaran berkenaan yang memaparkan pelakon filem Anwar: The Untold Story itu sedang menatap foto kenangan bersama anak-anaknya turut diiringi dengan lagu Bila Cinta.
Lagu nyanyian Gio itu cukup sinonim sebagai runut bunyi (OST) bagi filem blokbuster Lagenda Budak Setan yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.
Pemilihan muzik latar tersebut ternyata menjentik memori netizen apabila rata-ratanya mula mengaitkan situasi hiba tersebut dengan watak ikonik yang pernah diterajui Farid iaitu Kasyah.
Menjengah ke ruangan komen, peminat bukan sahaja memberikan kata-kata semangat, malah berdoa agar pelakon itu terus kuat.
“Sila buat kemunculan semula, terus bersemangat meniti hidup bersama anak-anak,” tulis satu peminat.
“Terus rasa dejavu bila dengar lagu Lagenda Budak Setan, ada sambungan?” kata seorang lagi pengikutnya.
“Sumpah ingat akan ada Lagenda Budak Setan 4, apapun terus tabah bang,” doa peminat yang lain.
Untuk rekod, watak Kasyah dalam trilogi Lagenda Budak Setan merupakan antara naskhah paling berbekas dalam kerjaya seni Farid Kamil, yang menggambarkan kesetiaan dan penderitaan seorang lelaki dalam mengejar cinta sejati. -UTUSAN










