CYBERJAYA: Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) dan Kolej Pengajian Keselamatan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mendakwa institusi berkenaan terlibat dalam penipuan, tidak berdaftar serta memperdaya pelajar melalui tawaran pengajian dan bantuan kewangan.
Pengerusi KPMB, Datuk Shamsudin Mat berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas, bersifat fitnah dan berniat jahat sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa serta orang ramai.
Menurutnya, pihaknya serta KPKPM telah membuat dua laporan polis berhubung penyebaran dakwaan palsu itu bagi melindungi reputasi koperasi dan kolej terbabit serta memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar.
“Institusi ini beroperasi secara sah dan telus serta sentiasa bersedia untuk diperiksa oleh mana-mana pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah hadir ke kampus KPKPM bagi menjalankan pemeriksaan, termasuk meninjau bilik kuliah dan sesi pengajaran yang sedang berlangsung.
Mengulas punca dakwaan itu timbul, Samsuddin berkata terdapat pihak yang meragui keupayaan sebuah institusi yang masih baru beroperasi untuk menawarkan bantuan pengajian kepada pelajar, sekali gus menimbulkan persepsi negatif bahawa tawaran tersebut terlalu ‘baik untuk menjadi kenyataan’.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bantuan pengajian yang disediakan adalah melalui mekanisme jelas dan berstruktur, termasuk tanggungan yuran tertentu hasil keuntungan operasi kolej serta sokongan koperasi, tanpa melibatkan pemberian wang tunai secara langsung kepada pelajar. – UTUSAN










